Tuesday, 26 November 2013


Bahang Pilihanraya Kampus UPM
      
3 orang pelajar yang memberikan pendapat tentang pilihanraya kampus.
Dari kiri: Nora Azriana, Shamila dan Azmi Azman.


Oleh: Zuhaili Indzam
zuhaili@newsfbmk.com.my

SERDANG, 26 Nov. – Universiti Putra Malaysia, UPM bakal melaksanakan pilihanraya kampus (PRK) yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab universiti.

Tarikh mengundi akan diadakan pada 28 November, Khamis yang diadakan di setiap dewan utama kolej-kolej kediaman dan fakulti.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan ialah sebanyak 11 kerusi bagi calon umum dan 34 kerusi bagi calon fakulti.

Proses penamaan calon dan proses berkempen berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Akan tetapi, apa yang kurang menarik pada pilihanraya kali ini ialah kurangnya publisiti daripada calon-calon fakulti mahupun calon umum.

Nora Azariana Sabri, pelajar tahun tiga jurusan Bacelor Sains Rumah Tangga, Fakulti Pengajian Pendidikan berpendapat bahawa pilihanraya kali ini kurang hebahannya berbanding tahun-tahun sebelum ini dan beliau tidak mengetahui jumlah sebenar calon yang terpilih di fakulti sendiri mahupun keseluruhan.

“Walaupun publisiti atau kempen kurang memberangsangkan daripada para calon, tetapi manisfesto-manifesto yang dibawakan oleh mereka sangat mantap dan bersifat mesra pelajar,”jelasnya.

Shamila Thiagarajan, pelajar tahun satu dari fakulti yang sama pula berkata, “Walaupun saya baru pertama kali berhadapan dengan pilihanraya kampus, saya lihat calon-calon mengetengahkan manifesto-manifesto yang logik dan berwibawa. Akan tetapi kempen atau publisiti daripada semua calon adalah hambar,” kata beliau.

Pelajar tahun akhir dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina pula menyuarakan kekecewaan beliau kerana tidak mengetahui langsung tarikh sebenar bagi melakukan pengundian. “Saya selalu mengambil tahu tentang isu semasa yang berlaku di kampus, tapi sedihnya saya tidak mendengar langsung berita tentang pilihanraya kampus,”katanya.

Rata-rata pelajar menyuarakan kekecewaan kerana kurangnya hebahan dan kempen daripada para calon sedangkan manifesto yang mereka bawakan adalah sangat menepati kehendak semua pelajar.

Harapan mereka pada pilihanraya kali ini ialah para calon dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan penuh amanah.

Selain itu Nora dan Azmi berpendapat bahawa para calon perlu menyuarakan pendapat kepada pihak atasan supaya ditambah lot tempat letak kereta di sekitar kawasan kolej serumpun bagi mengelak kesesakan dan juga kejadian yang tidak diingini.

Mereka juga lebih menekankan aspek keselamatan para pelajar di kawasan kediaman dan juga fakulti.

Tambah mereka lagi, pilihanraya kampus adalah penting bagi memelihara kebajikan para pelajar sekaligus mempraktikkan diri untuk lebih maju ke hadapan.

Proses berkempen dilihat semakin berterusan dan diuar-uarkan dengan lebih meluas kepada umum bermula petang tadi dan akan berakhir pada 27 November sebelum tarikh pengundian.




No comments:

Post a Comment